Bicara Budaya

Teater Melayu: Bangsawan

olehNurul Haziqah Hassan
February 2024

Pengenalan

Perkataan “bangsawan” merupakan gabungan dua perkataan iaitu “bangsa” dan “wan”. “Wan” merupakan suatu gelaran bag mereka yang berketurunan yang menggunakan nama “Wan”, “Syed” atau mempunyai darah diraja. Oleh itu, “bangsawan” bererti kaum atau bangsa yang berketurunan diraja. Bangsawan merupakan opera Melayu yang pertama kali dipentaskan di Penang pada tahun 1870an tetapi sebelumnya sudah wujud di Indonesia dan dikenali sebagai stambul. Dalam zaman kerajaan, bangsawan hanya dipentaskan untuk istana. Walau bagaimanapun, selepas zaman tersebut, bangsawan dipentaskan sebagai hiburan rakyat. Kisah-kisah yang dipentaskan sebagai bangsawan diadaptasi daripada cerita-cerita rakyat Arab dan Cina, dan juga sejarah Melayu.

Asal-usul Bangsawan

Walaupun bangsawan dipentaskan dalam bahasa Melayu pada lazimnya, unsur-unsur pementasan sebegini tercetus daripada pengkuburan teater bergerak di India. Pada tahun 1870an, sebuah pementasan teater bergerak bernama Wayang Parsi atau Mendu telah mempengaruhi industri pementasan teater di Penang. Bahasa pengantaraan yang digunakan oleh kumpulan teater ini ialah bahasa Hindi dan dilakonkan oleh para pelakon lelaki dan wanita dari negara India. Kemudian, Wayang Parsi diambil alih oleh seorang pemuda dari kalangan masyarakat Jawi Pekan tempatan yang bernama Mohamed Pusi pada tahun 1884 dan diberikan nama Wayang Bangsawan.

 

Perkembangan Bangsawan

Para penduduk di Pulau Pinang menyambut baik pementasan-pementasan bangsawan dek keunikan corak permainan mereka yang menyegarkan. Tambahan pula, babak-babak yang dilakonkan seringkali menghiburkan para penonton. Selaras itu, bangsawan meningkat dalam populariti disebabkan kewujudan ramai penduduk dari India di pulau itu terutamanya selepas pembukaannya oleh Sir Francis Light pada tahun 1868. Disebabkan itu, mulalah berkembang penduduk kacukan Melayu/India yang lazimnya membawa nama keturunan seperti Marican, Babjan, Pak Wan Teh, Haron Bee, Patma Bee dan banyak lagi. Kumpulan-kumpulan bangsawan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan terutama sekali di kawasan negeri-negeri Selat yakni, Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Mereka menjelajah ke seluruh tanah Melayu hingga ke Sumatera. Tapak Sungei Wang Plaza di Kuala Lumpur dahulunya merupakan tempat bangsawan dipentaskan dan dikenali sebagai Happy World.

Antara kumpulan-kumpulan bangsawan yang lebih lama bergiat dalam bidang in ialah Nahar Bangsawan Malaysia Opera, Kinta Opera, Indera Bangsawan of Penang, City Opera, Peninsular Opera, Seri Permata Opera, Jaya Opera, Zanzibar Bangsawan, Dean Union Opera, Gray Opera, Indera Permata of Selangor, Constantinople Opera, Rahman Opera, Kecana Wati Opera, Bangsawan Jenaka Melayu dan Bolera Opera.

Bangsawan di Singapura

Bangsawan dipercayai telah bertapak di Singapura pada tahun 1880an. Ketibaannya di Singapura seiringan dengan seri panggungnya iaitu Siti Hawa dan kumpulan Wayang Mama Pushi dari Pulau Pinang.

Mohamed Pushi telah menubuhkan kumpulannya yang dikenali dengan nama Pushi Indera Bangsawan. Kemudian, berputiklah kumpulan-kumpulan bangsawan lain seperti Wayang Setambul, Wayang Kassim, Indera Zanibar dan lain-lain. Persembahan-persembahan bangsawan mendapat sambutan hangat daripada penduduk di Singapura. nnznzmzm,Z

Pengarah dan pemimpin Indera Zanibar bernama Bai Kassim dan beliau merupakan seorang tokoh yang mashur dengan kebolehannya. Kumpulan ini telah menjelajahi Tanah Melayu dan Indonesia termasuk Jawa, Sumatera dan Borneo. Kemudian, kumpulan ini diraikan oleh Sultan dan diberikan keagungan.               

 

Kerelevanan Bangsawan dengan Zaman Sekarang

Tidak dapat dinafikan bahawa industri bangsawan sudah atau hampir lenyap di Singapura. Namun, teknik-teknik yang digunakan dalam bangsawan telah diterapkan dalam pementasan, lakonan, pengacaraan pada zaman kini.

Salah satu teknik yang para pelakon bangsawan harus dikuasai ialah teknik improvisasi. Hal ini kerana para pelakon tidak diberikan skip. Mereka hanya dibekalkan sinopsis atau jalan cerita yang akan dipentaskan. Perjalanan cerita juga ringkas dan daya tarikan bergantung kepada kemahiran para pelakon membuat improvisasi.

Teknik yang sama dapat dilihat dalam filem-filem P.Ramlee di mana kebanyakan lawak jenaka yang terselit merupakan improvisasi para pelakon. Improvisasi juga penting bagi pengacara televisyen era ini untuk menarik perhatian penonton atau tetamu undangan yang ditemu bual. Selain itu, kanak-kanak yang memasuki kelas-kelas berlakon akan diajar teknik improvisasi di mana mereka akan menggunakan objek-objek seharian dan mengimprovisasikan objek-objek itu sebagai benda yang lain. Contohnya, penyapu boleh dijadikan senapang. Mereka juga perlu melakonkan babak yang tidak dirancang dengan peserta yang lain dan di situlah dapat mereka praktikkan dialog yang disesuaikan.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Muzik Tradisional Melayu

Songket-Sulaman Bangsa