Pantun sememangnya tidak asing lagi dalam budaya masyarakat Melayu dahulu. Hampir setiap topik perbualan akan diselitkan dengan pantun, tidak kira untuk mengucapkan terima kasih, memberi nasihat, meluahkan perasaan, menyindir dan sebagainya. Salah satu kegunaan pantun adalah untuk membangkitkan semangat juang dalam diri para pahlawan yang mempertahankan nusa dan bangsa.
HIKAYAT HANG TUAH
Hikayat Hang Tuah merupakan hikayat yang mengisahkan sejarah Hang Tuah bersama empat orang sahabatnya iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Mereka berlima merupakan pahlawan yang menjaga keamanan negeri Melaka pada ketika itu. Petikan pantun dalam hikayat tersebut ialah seperti yang berikut,
Maka Hang Jebat dan Hang Kasturi pun berpantun:
Hang Jebat Hang Kasturi,
Budak-budak Raja Melaka.
Jika hendak jangan dicuri,
Mari kita bertentang mata.
Maka Hang Lekiu pun berpantun:
Adakah perisai bertali rambut,
Rambut dipintal akan cemara.
Adakah bisai tahu takut,
Kami pun muda lagi perkasa!
Maka Laksamana Hang Tuah pun berpantun:
Lokan melata di perahu,
Belah balang bercendawan.
Bukan aku tiada tahu,
Akulah hulubalang minta lawan.
Maka Hang Lekiu pun berpantun:
Ambil galah kaitkan jantung,
Ciak banyak makan di jalan.
Pada Allah tempat bergantung,
Datang tombak kita melawan!
Pantun ini dilontarkan ketika mereka berlima sedang duduk-duduk di taman larangan milik Raja Majapahit, Patih Raja Mada kerana ingin membalas dendam perbuatan raja tersebut yang cuba untuk membunuh Hang Tuah. Pantun tersebut memiliki unsur kepahlawanan untuk menunjukkan kegagahan masing-masing, sesuai dengan diri mereka berlima.
RAJA DONAI BAHTERA KULIT KACANG
Kisah Raja Donai Bahtera Kulit Kacang juga salah satu kesusasteraan bahasa Melayu yang masih ada sehingga kini. Manuskrip ini mengisahkan tentang Raja Donai yang mempunyai kuasa magis untuk mempertahankan negerinya. Pantun tentang kekuatan jelas dalam satu petikan,
Ada kundur di bawah ketapak,
Akan dibelah dengan kelekati.
Pantang kekanda undur setapak,
Kerana sia-sia anak lelaki.
Pantun ini menunjukkan semangat tekad Raja Donai yang tidak mudah menyerah kalah. Semangat inilah yang harus ada pada semua orang, seperti kata peribahasa Melayu, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
HIKAYAT INDERA PUTERA
Akhir sekali ialah pantun dalam Hikayat Indera Putera. Hikayat Indera Putera merupakan satu hikayat kisah cinta yang mempunyai unsur magis. Terdapat beberapa pantun dalam manuskrip ini, salah satunya pantun yang dilafazkan oleh Indera Putera, seorang anak raja ketika membuktikan kesetiaannya kepada Puteri Kemala Ratnasari. Pantunnya ialah seperti berikut,
Jika halia tiada tumbuh,
Ganja dikarang akan destar;
Jika setia tiada teguh,
Bukanlah anak raja besar.
Pantun ini mengangkat nilai kesetiaan. Memandangkan manuskrip ini bertemakan percintaan, maka kesetiaan adalah kekuatan bagi watak utama, iaitu Indera Putera. Baginya, kesetiaan adalah kekuatan seorang anak raja besar, dan tidak semua orang boleh memilikinya.