Melenggang hai melenggang si tari lenggang
Kalau baik hati nanti orang pun sayang
Inilah permulaan lirik lagu Joget Pahang yang dinyanyikan oleh Dato’ Siti Nurhaliza.
Rangkap pertama lagu ini dilihat hampir seperti sebuah pantun 2-kerat. Namun tahukah anda bahawa hampir seluruh lagu tersebut terdiri daripada rangkap-rangkap pantun? Mari kita lihat rangkap-rangkap seterusnya lagu tersebut.
Dari Melaka ke negeri Pahang,
Singgah di Johor beli berangan;
Kami ucapkan selamatlah datang,
Apa yang kurang dicaci jangan.
Rangkap kedua lagu Joget Pahang merupakan sebuah pantun 4 kerat. la sesuai digunakan dengan lagu ini yang mengajak kita untuk menyambut kedatangan tetamu dengan penuh mesra dan gembira. Jika dilihat daripada pembayangnya, ia mengisahkan tentang para pedagang yang belayar di atas kapal melalui Selat Melaka. Mereka singgah di Johor untuk membeli buah berangan, sejenis makanan ringan yang manis dan berkhasiat. Bila dipadankan dengan maksud pantun tersebut, ia mengisahkan tentang para penduduk yang menyambut mesra kedatangan para pedagang yang singgah ke negeri Mereka. Mereka berharap agar tetamu mereka itu dapat memaafkan mereka atas segala kekurangan yang dialami semasa kedatangan mereka. Maksud pantun ini juga mengajar para tetamu agar menjaga tata tertib mereka semasa berada di tempat orang. Janganlah dicaci orang yang telah menyambut kedatangan mereka kerana ini boleh mengguriskan hati tuan rumah yang sudah berusaha untuk memberikan layanan yang baik dan mesra.
Satu lagi lagu berunsur pantun ialah lagu Joget Kelantan nyanyian Nora. Lagu ini mengajak kita untuk melestarikan budaya Melayu yang tinggi nilainya.
Sampai di pasar beli sutera,
Hajat nak buat kain basahan;
Memangnya tinggi budaya kita,
Biarlah kekal mudah-mudahan.
Pembayangnya juga sesuai dipadankan dengan maksud pantun tersebut. Kain sutera itu umpama budaya Melayu yang amat berharga dan bernilai tinggi. Kain basahan pula bererti kain basahan atau kain yang digunakan setiap hari. Sama seperti budaya, kita seharusnya selalu menggunakan dan mempraktikkan budaya kita agar ia sentiasa kekal dan tidak pupus ditelan zaman.
Selain daripada tema budaya, pantun yang bertemakan kasih sayang juga banyak dijadikan lirik lagu Melayu asli. Jikalau anda pernah mendengarkan lagu Gurindam Jiwa nyanyian asal Allahyarhamah Datin Rafeah Buang dan R. Ismail, anda pasti pernah terdengar akan pantun ini:
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.
Pembayang pantun ini menerangkan bahawa padi yang telah masak haruslah dituai agar ia tidak menjadi layu dan rosak. Sama juga dengan maksud pantunnya, jika tidak mahu resah dan layu akibat rindu ketika berpisah, pandanglah wajah orang yang disayang itu seketika walaupun terpaksa melakukannya dari jauh. Pantun ini sebenarnya melambangkan kesopanan orang Melayu yang sangat menjaga batas-batas perhubungan mereka.
Selain lagu Melayu klasik, lagu Melayu moden juga ada menerapkan unsur-unsur pantun di dalam lagu mereka. Contohnya ialah lagu rap ‘Aku Maafkan Kamu’ daripada Malique:
Atas kepala murai sekawan,
Baling kurambit kucup lehernya;
Terlalu rahi dendam diangan,
Sampai terkacip mulut mahirnya.
Lagu rap ini mempunyai maksud yang amat mendalam. Lagu ini secara keseluruhannya menyindir orang-orang hipokrit yang banyak bercakap dan berlagak pandai sedangkan ilmu dan fikiran mereka sangat cetek. Rangkap pantun ini boleh dianggap sebagai klimaks atau kemuncak lagu ini. Penulis mengkritik halus mereka yang terlebih ghairah dan suka untuk berdendam dengan orang sampai mulut yang digunakan untuk menyebarkan fitnah dan kejahatan itu akhirnya kembali menyakiti mereka.
“Murai sekawan” dapat dilihat sebagai sekumpulan orang yang bising mulutnya dan banyak mengata orang. Mereka terletak di “atas kepala” kerana mereka mungkin merasakan bahawa mereka sangat bijak walaupun hakikatnya otak burung murai lagi kecil daripada otak manusia. “Kurambit” atau kerambit merupakan sejenis pisau kecil dan apabila dibaling ia terkena pada leher burung murai tersebut. Pisau ini boleh disamakan dengan kata-kata seorang hipokrit yang akhirnya “mati” bila disakiti oleh kata-kata tajamnya sendiri.
Selain lagu tersebut, terdapat banyak lagi lagu Melayu yang menggunakan rangkap-rangkap pantun di dalam lirik mereka. Melalui lagu-lagu sebegini, kita dapat lihat bahawa pantun boleh digunakan untuk menyampaikan maksud sesebuah lagu dengan cara yang amat lembut, halus dan kreatif.
Manakah ruang belum terisi,
Dengan hamparan cahaya madah;
Alunkan megah pantun puisi,
Biar berbunga ke langit indah.
(Dipetik dari lagu Pahlawan Zafana oleh Ihab Ismail)