Rencana Khas

Merealisasikan Impian dan Cita-Cita

olehMuhamad Azhar Haris
October 2024

Sebaik sahaja kita melangkah ke tahun baharu, pasti ramai yang memasang azam atau kemahuan yang baharu. Remaja dengan azam baharu sebagai remaja, orang dewasa dengan azam baharu mengikut gaya orang dewasa. Begitulah kebiasaannya. Azam tahun baharu membolehkan kita mempunyai sesuatu untuk dicapai dan ini mendorong kita berusaha untuk meningkatkan kualiti diri kita. Tahukah anda bahawa orang-orang yang berjaya semuanya mempunyai azam yang baharu? Namun mereka tidak menganggap azam sekadar kemahuan sahaja, tetapi mereka menganggapnya sebagai matlamat, iaitu perkara yang mesti dan perlu dicapai untuk membantu kejayaan mereka yang lebih besar pada masa akan datang. Oleh itu, azam tahun baharu mereka tidak sama seperti kebanyakan orang. Kita boleh mencontohi mereka dengan menggunakan formula SMART dalam menetapkan sesuatu azam, iaitu Specific (terperinci), Measurable (boleh diukur), Attainable (boleh dicapai), Realistic (nyata) dan Timely (ada ukuran masa). Bukan sekadar azam baharu, tetapi impian dan cita-cita juga menggunakan formula ini. Dengan adanya formula ini, azam tahun baharu dan impian kita tidak hanya sekadar angan-angan dan mimpi! 

Tidak mudah untuk mencapai impian dan cita-cita. Onak dan duri perlu dilalui dengan sabar dan jiwa yang kental. Setiap mereka yang berjaya pada masa kini semuanya melalui jalan yang sukar, penuh cabaran dan halangan. Di Singapura, begitu ramai nama-nama besar yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Tidak kira latar belakang keluarga, bangsa mahupun agama, semua orang pasti boleh berjaya jika berusaha. Beberapa nama besar dikongsi dalam rencana ini agar dapat kita dapat menjiwai semangat juang mereka.

  1. LEFTENAN ADNAN BIN SAIDI (KETENTERAAN)

Nama tokoh ini tidak asing lagi dalam lipatan sejarah kita. Leftenan Adnan atau nama sebenarnya Adnan bin Saidi merupakan seorang pegawai tentera yang kental dan berjiwa besar pada zaman Perang Dunia Ke-2. Beliau seorang yang cemerlang dalam pelajaran dan pernah menjadi seorang guru pelatih selama lebih daripada setahun. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk memasuki tentera dalam Rejimen Askar Melayu. Pada usia yang muda, beliau dilantik menjadi seorang Sarjan dan menjadi ketua Platun ke-7, Kompeni C. 

Adnan Saidi - Wikipedia

Bukit Chandu, pada tahun 1941, telah menyaksikan kekentalan semangat perjuangan anak muda ini. Ketika tentera Jepun hampir berjaya mengambil alih seluruh Tanah Melayu dari Perlis, Malaysia hingga ke Singapura, Bukit Chandu menjadi benteng terakhir. Dalam pertempuran terakhir dan sengit itu, Platun ke-7 yang hanya seramai 42 orang sahaja menentang beratus-ratus askar Jepun. Kebijaksanaan dan semangat juang yang tinggi membolehkan Leftenan Adnan berjaya mengesan helah tentera Jepun dan berjaya membunuh ramai tentera Jepun. Pantang maut sebelum ajal, mortar, meriam, senapang, bom tangan semua habis digunakan, lalu terpaksa menggunakan pisau untuk menewaskan musuh. Setelah beberapa jam bertempur dengan senjata dan peluru yang terhad jumlahnya, akhirnya Leftenan Adnan dan tenteranya tewas juga. Akibat kemarahan tentera Jepun yang amat mendalam, Leftenan Adnan telah diseksa dahulu sebelum dibunuh dengan kejam. 

Beliau gugur pada usia 27 tahun. Walaupun akhirnya seluruh Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun, perjuangan Leftenan Adnan berjaya menggentarkan seluruh batang tubuh tentera Jepun. Begitulah perjuangan beliau yang harus kita hayati. Kalau beliau bermati-matian berjuang di medan perang, kita berjuang di lapangan bidang yang kita ceburi!

  1. TUAN SYAFIQ YUSSOFF (KEUSAHAWANAN)

Bermula dengan langkah kiri tidak bererti akan tamat dengan langkah kiri. Begitulah yang dilalui oleh Encik Syafiq Yussoff. Beliau merupakan pengasas syarikat Riverwood, iaitu sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan logistik dan penghantaran. Sebelum memulakan perniagaan, nasibnya agak kurang baik berbanding orang lain. Beliau pernah tercicir dalam pelajaran sebelum bekerja sebagai seorang jurulatih di gimnasium. Setelah enam tahun bekerja sebagai jurulatih, beliau mengambil keputusan untuk membina empayar perniagaannya sendiri. 

Muda, Bijak Rebut Peluang Jadi Rakan Logistik Amazon, Berita Singapura - Beritaharian.sg

Dengan tekad dan semangat yang baharu, beliau membuka perniagaannya pada tahun 2010 dengan hanya dua buah van dan empat orang pekerja sahaja. Cabarannya lebih besar kerana banyak kerja yang beliau lakukan sendiri dan terpaksa bersaing dengan syarikat yang lebih besar. Beliau terus berusaha menambah baik perkhidmatannya dan belajar perkara-perkara baharu terutamanya yang berkaitan dengan teknologi baharu. 

Kerja kerasnya membuahkan hasil. Kini syarikatnya berjaya meraih hasil jutaan dolar. Syarikatnya juga dilantik menjadi rakan logistik rasmi syarikat Amazon, DHL, FedEx dan banyak lagi. Malahan, nama syarikatnya juga telah disebut oleh Perdana Menteri dalam ucapannya Semasa Rapat Hari Kebangsaan pada tahun 2017 sebagai salah satu syarikat yang membanggakan.

  1. DR. RUFAIHAH (SAINS, TEKNOLOGI DAN PENYELIDIKAN)

Dr. Rufaihah binti Abdul Jalil merupakan seorang penolong profesor di Universiti Nasional Singapura. Beliau berjaya meraih Ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam pengajian Sel Tunjang dan Biologi Endotelium. Sebelum menamatkan pengajian, beliau berpeluang menjalani latihan di Stanford University di Amerika Syarikat. Malah, beliau turut mendapat tawaran untuk bekerja di dua buah universiti di Amerika Syarikat dan Britain. Namun akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berkhidmat di negara sendiri.

Sejak zaman kanak-kanak lagi, Dr. Rufaihah telah mula meminati Sains apabila ibu bapanya sering membawanya melawat tempat-tempat berunsur alam semula jadi seperti taman haiwan, kebun bunga dan sebagainya. Ketika berusia 13 tahun, beliau menonton sebuah rancangan temu bual dengan seorang saintis di kaca televisyen. Sejak itu, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang saintis kerana menjadi seorang saintis membolehkannya meneroka dan mendalami alam semula jadi serta menghargai ciptaan Tuhan. 

Daripada minat, menjadi kenyataan. Beliau kini Contoh Pada Yang Lain..., Berita Wacana - Beritaharian.sgmenjadi salah seorang saintis perubatan di Singapura. Bidang kajiannya, iaitu sel tunjang sebagai penawar penyakit kardiovaskular bakal membuka lembaran baharu dalam lapangan perubatan. Tidak terhenti di situ, Dr. Rufaihah mengambil inisiatif dengan membuka sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), iaitu Granada Academy, untuk mendorong lebih ramai pelajar meminati bidang Sains. Sehingga kini, pelbagai pencapaian telah berjaya diperolehnya.

  1. SAYIDAH AISYAH MOHAMED RAFA’EE (SUKAN)

Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee merupakan seorang atlet dayung negara kita. Beliau antara atlet kebanggaan Singapura apabila berjayamelakar sejarah dengan menjadi atlet dayung Singapura yang pertama melayakkan diri dalam Sukan Olimpik di Rio pada tahun 2016. Beliau bukan calang-calang atlet kerana Sukan Olimpik ialah acara sukan yang terbesar di dunia. Jadi, pasti setiap atlet ingin beraksi di pentas Sukan Olimpik, dan Sayidah Aisyah berjaya melakukannya! 

Untuk sampai ke tahap itu, bukanlah suatu yang mudah buat dirinya. Ketika baru menceburi bidang sukan ini, banyak cabaran yang beliau hadapi terutamanya dari segi kewangan dan sokongan moral. Guru dan ibunya tidak menyokong minatnya dan beliau tidak mendapat dana latihan daripada pihak pemerintah. Beliau juga pernah membuat kutipan dana daripada orang ramai bagi membiayai perbelanjaan latihannya di Australia, sebelum mendapat tajaan daripada syarikat restoran ayam goreng Singapura, 4 Fingers Crispy Chicken.

Selepas pelbagai liku dilalui, akhirnya kerja keras membuahkan hasil. Kejayaan demi kejayaan berjaya dicapai. Antara pencapaian beliau dalam sukan ini ialah kejayaan merangkul pingat gangsa dalam Sukan Sea 2011 di Indonesia, pingat emas dalam Sukan Sea 2013 di Myanmar dan pingat gangsa dalam Sukan Sea 2015 di Singapura. Kejayaan demi kejayaan ini telah membuka mata seluruh warga Singapura terhadap kemampuannya.

Sayidah Aisyah satu-satunya atlit Melayu S'pura ke Olimpik Rio - BERITA Mediacorp

BERUSAHALAH!

Kisah-kisah mereka membuktikan bahawa jalan untuk mencapai impian dan cita-cita itu perlu melalui proses yang panjang dan sukar. Namun cabaran tidak membuatkan mereka berputus asa dan mengalah. Sebaliknya, mereka tetap meneruskan langkah demi mencapai matlamat mereka. Peribahasa Melayu, genggam bara biar sampai jadi arang tersemat rapi dalam jiwa mereka. Begitu jugalah seharusnya para pelajar. Sebagai pelajar dan generasi muda, anda perlulah berusaha keras, bermula dengan menetapkan azam baharu tahun ini serta memperbaharui azam tahun-tahun sebelumnya. Malah, impian dan cita-cita pada masa hadapan juga perlu ditetapkan sekarang. Para pelajar harus tahu hala tuju kehidupan supaya setiap tindakan dan keputusan akan mendekatkan diri kepada impian dan cita-cita masing-masing. Oleh itu, pada tahun baharu ini, tuntunlah azam tahun baharu kita seiring dengan apa yang mahu dicapai pada masa hadapan. Mimpi tidak akan berubah menjadi realiti jika tidak berusaha, kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.   

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Sukan Menggalak Integrasi