Satu lagi sejarah dalam bidang angkasa telah tercipta pada tanggal 10 April 2019, apabila para saintis daripada sebuah projek mega berjaya mengambil imej lohong hitam (black hole). Setelah berpuluh tahun mengkaji dan meneliti lohong hitam, buat pertama kali manusia dapat melihat imej sebenar lohong hitam ini. Bukan mudah untuk para pengkaji ini mendapatkan imej lohong hitam yang terletak sejauh lebih daripada 53 juta tahun cahaya dari bumi.
APA ITU LOHONG HITAM?
Lohong hitam ialah suatu objek di angkasa yang sangat tumpat dan gravitinya sangat kuat sehingga tiada satupun jirim yang dapat melepasinya termasuklah cahaya. Istilah lohong hitam digunakan kerana cahaya tidak dapat memancar ke arahnya, malahan cahaya di sekeliling akan ditarik ke tengahnya. Kita hanya dapat mengesan lohong hitam apabila terdapat sesuatu fenomena cahaya dan gas yang dipengaruhi oleh graviti lohong hitam yang sangat kuat ini. Kesan yang boleh dilihat ialah pergerakan yang ganjil di sekelilingnya atau pengorbitan objek-objek di sekeliling lohong hitam tersebut.
PROSES MENDAPATKAN IMEJ
Lohong hitam yang berjaya diambil imejnya dikenali sebagai M87. Proses rakaman untuk mendapatkan imej telah bermula sejak tahun 2017 dan dilakukan selama dua minggu. Para saintis terpaksa mengambil masa selama dua tahun untuk mendapatkan imej seperti yang kita lihat pada hari ini. Mereka menggunakan sistem jaringan teleskop radio yang dikenali sebagai Event Horizon Telescope (EHT) untuk mendapatkan imej tersebut. Projek mega ini memerlukan kerjasama pelbagai negara dan melibatkan lapan buat teleskop gergasi yang telah sedia ada.
Bagi mendapatkan imejnya, Kelapan-lapan buah teleskop ini menggunakan satu teknik baharu, iaitu teknik Very-Long-Baseline Interferometry (VLBI). Melalui teknik ini, semua teleskop menangkap gelombang radio secara serentak dalam satu masa. Data yang diambil daripada semua teleskop ini dikumpulkan dalam satu komputer berkuasa tinggi kerana saiz datanya amat besar, iaitu 5 petabait. Bayangkan, 5 metabait ini bersamaan dengan semua lagu berformat MP3 yang dikumpulkan selama 5000 tahun! Proses pemindahan data dari setiap lokasi juga tidak dapat dilakukan melalui Internet kerana saiznya yang besar itu, sebaliknya perlu menyalin data ke cakera keras. Selepas dikumpulkan, pelbagai lagi proses yang rumit perlu dilakukan untuk memastikan hasil yang diperoleh benar-benar tepat. Semua teknologi yang digunakan ini dianggap sebagai sesuatu yang mustahil pada suatu masa dahulu.
Sesungguhnya, imej yang kita lihat ini ialah suatu pencapaian peradaban manusia yang amat besar. Setelah sekian lama lohong hitam hanya menjadi teori dan fiksyen sains, kini dengan adanya imej ini, kewujudannya telah dibuktikan dan mampu menjawab persoalan-persoalan penting serta menjadi batu loncatan untuk menyingkan lebih banyak rahsia alam.