Sebagai seorang pelajar, perkara yang sering dititikberatkan ialah tentang prestasi pelajaran kita. Selain daripada kesungguhan mengulang kaji pelajaran, kejayaan kita juga bergantung kepada keadaan kesihatan mental yang baik. Ramai pelajar yang terkandas kerana fikiran mereka terganggu. Pada masa yang sama ramai juga pelajar yang mengalami masalah kemurungan kerana kegagalan dalam pelajaran. Sebenarnya, kedua-dua perkara ini saling berkait rapat dalam satu lingkaran musibah. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengetahui caracara untuk menjaga kesihatan mental kita.
Salah satu cara untuk menghindari kemurungan adalah dengan mengawal tekanan. Bagi seorang pelajar setiap kali musim peperiksaan tiba minda kita akan diasak dengan soalan-soalan seperti “Apakah tahap kesusahan kertas ujian? Mampukah saya menjawab semua soalan-soalan?” Perasaan gemuruh memang tidak dapat dielakkan. Kekhuatiran juga lumrah manusia. Namun, setiap sesuatu itu ada hadnya. Misalnya, jika seseorang itu terlalu bimbang tentang sesuatu perkara, orang tersebut akan berasa tertekan. Jika emosinya tidak terkawal, dia akan menjadi mangsa kemurungan. Salah satu cara untuk menangani masalah ini adalah dengan menetapkan matlamat yang realistik untuk diri kita sendiri. Elakkan daripada meletakkan harapan yang terlalu tinggi agar tidak kecewa jika tidak mendapat apa yang diingini. Mulakan dengan matlamat yang mudah dicapai dahulu. Ini akan menambah keyakinan kita untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
Satu lagi perkara yang penting untuk menjaga kesihatan mental kita adalah masa rehat yang secukupnya. Kajian menunjukkan bahawa kekurangan tidur akan meningkatkan risiko kemurungan dalam diri seseorang, lebih-lebih lagi dalam diri seorang remaja. la juga akan menjejas tumpuan seorang pelajar di sekolah. Selain daripada waktu tidur yang mencukupi, seorang pelajar juga perlu mengetepikan masa untuk beriadah bersama kawan-kawan ataupun keluarga.
Secara keseluruhannya, setiap individu memerlukan keseimbanganan dalam hidup. Kesihatan mental yang mantap boleh dicapai dengan meluangkan masa bersama orang yang tersayang iaitu keluarga dan rakan-rakan. Secara fitrah, manusia memerlukan interaksi sosial. Malah, ia menyumbang kepada penakatan hidup. Oleh itu, amat disarankan untuk berbual atau melakukan aktiviti harian bersama orang di sekeliling. Kita harus saling membantu dan saling memberi sokongan.
Bagi para pelajar, memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakan semasa musim peperiksaan boleh membangkitkan semangat untuk membuat kertas peperiksaan dengan bersungguh-sungguh. Lantas, wujudkan persekitaran yang positif agar keresahan tidak membuat fikiran kalut, sekaligus memantapkan kesihatan mental.