Cergas Cerdas

Kekal Cergas Dari Rumah

olehNur Shafikah Ghani
October 2024

Siapa sangka pada tahun 2020, dunia dilanda wabak Covid-19 yang membendung pergerakan serta kebebasan seharian kita semua. Tahun 2020 mencatat satu detik hitam dalam sejarah. Pendek kata, wabak ini menggegarkan kehidupan semua manusia di dunia sehinggakan pelbagai aspek kehidupan

harus diubah suai demi memastikan virus Covid-19 tidak terus menular. Di negara Singapura sendiri, bermacam kaedah telah digunakan untuk mengekang virus ini, terutamanya menjaga jarak sosial, di tempat khalayak ramai mahupun dengan berkuarantin ketika sakit. Apabila kehidupan manusia semakin berasingan, perjumpaan bersama rakan dan kenalan menjadi semakin payah. Begitu juga aktiviti-aktiviti sukan yang semakin berkurangan demi menghentikan acara berkumpulan. Namun, jika nak, seribu daya, tak nak seribu dalih, banyak kaedah alternatif yang masih dapat digunakan penggemar sukan untuk terus mengekalkan gaya hidup sihat. Jika ruang untuk bersukan di luar menjadi terhad, sudut rumah boleh sahaja digunakan untuk bersenam! Ruang ini akan menyajikan beberapa idea untuk kekal cergas di rumah.

SENAMAN KARDIO DI RUANG KEGEMARAN

Senaman kardio dapat dilakukan di ruang yang kecil mahupun yang besar. Jadi, ia sangat cocok sebagai kaedah untuk kekal cergas di sudut rumah yang dipilih seperti ruang tamu atau bilik tidur. Terdapat pelbagai cara untuk melakukan senaman kardio, dari kaedah yang mudah hingga senaman yang lebih kompleks untuk sesiapa yang gemar mencabar diri. Sememangnya, senaman kardio dapat meningkatkan kesihatan jantung dan bantu mendapatkan pernafasan yang baik. 

Yang paling hebat lagi ialah, senaman kardio tidak semestinya dilakukan bersama jurulatih atau guru kardio. Satu cara adalah dengan melompat menggunakan tali skip. Selain itu, kaedah yang lebih menarik adalah dengan hanya menggunakan komputer riba mahupun telefon bimbit. Anda dapat melungsuri lelaman Youtube dan memilih video kardio yang anda minati, mengikut citarasa muzik dan sebagainya. Kebanyakan video-video ini direka oleh guru kardio atau penggemar sukan yang memang bertauliah. Lantas, ia seakan-akan anda sendiri menyertai kelas kardio dan mengikuti setiap langkah senaman guru kardio itu. Bertemankan guru dari alam siber, anda bebas bersenam di ruang rumah tanpa rasa kekok jika anda bukan ahli sukan sepenuh masa. Tambahan pula, jika anda tidak pasti anda sedang melakukan senaman dengan betul, rakaman di Youtube membolehkan anda mengulangnya berkali-kali sehingga anda menjadi pakar.

Ini Dia 16 Manfaat Yoga untuk Kesehatan Tubuh dan Mental! | Blog Rey 

Mini Pingpong Table (YS-0902) - Ping Pong Table and Mini Desktop price | Made-in-China.comMINI PING-PONG

Permainan yang mudah dan menarik ini boleh dilakukan di rumah. Tidak semestinya seseorang yang mahu bermain sukan ping-pong ini harus mempunyai meja khas. Cukup sahaja meja makan ataupun meja yang panjang. Peralatan ping-pong pula sangat mudah diperolehi dari mana-mana kedai sukan dan harganya amat berpatutan. Dengan peralatan ping-pong, anda dapat bertarung dengan kawan atau ahli keluarga dalam pertandingan ping-pong mini. Tentu rumah anda akan dipenuhi tawa dan keriangan kerana sukan ini menjanjikan keseronokkan yang teramat.

Meskipun bukan berlawan untuk sukan Olimpik, permainan ping-pong mini ialah satu cara hebat untuk bersenam walaupun anda hanya berada di dalam rumah. Permainan ini dapat menguatkan fokus seseorang serta menguatkan sendi-sendi tanpa menggunakan tenaga yang berlebihan. Lantas, permainan ini sesuai untuk yang muda mahupun yang tua. Permainan yang dapat mengeratkan hubungan keluarga, ping-pong mini sudah tentu sukan yang sesuai dilakukan jika pergerakan kita terhad di luar rumah.

BERSENAM DENGAN ALAT PERMAINAN VIDEO

Semua orang mempunya citarasa masing-masing. Oleh sebab itu, cara yang berikutnya untuk cergas di rumah adalah untuk penggemar alat permainan video. Terdapat pelbagai alat permainan video yang dijual di pasaran yang membolehkan anda bersenam di rumah. Contohnya ialah Nintendo Switch yang membolehkan anda mengikuti permainan tarian seperti Just Dance. Permainan ini menyeronokkan dan pada masa yang sama, membolehkan seseorang itu menyihatkan tubuh badanya. Apabila dia mengikuti gerak-geri watak dalam permainan video tersebut, badan pun bergerak dan tidak terasa letih lesu. Contoh-contoh yang lain termasuk Wii Fit dan Xbox Fitness. Memang alat permainan video sering dianggap sebagai alat yang boleh memudaratkan kesihatan kerana pengguna duduk menghadap skrin dan kurang menggerakkan tubuh tapi alat yang sama juga telah terbukti dapat digunakan dengan cara yang bermanfaat.

Kaedah ini sudah tentunya lebih mahal dari kaedah-kaedah yang lain kerana pengguna harus membelanjakan wang untuk membeli pelbagai perkakas alat permainan namun jika digunakan dengan kerap dan betul, pengguna sudah tentunya dapat melihat perbezaan dalam kesihatan dan gaya hidupnya. Mungkin anda boleh bayangkan membeli alat sebegini sebagai membeli saham untuk memiliki mutu kehidupan yang lebih baik di masa hadapan, sama seperti seseorang yang membeli saham kewangan yang mendapatkan keuntungan kelak. Secara keseluruhan, semua kaedah untuk kekal cergas di rumah mempunyai kebaikan dan manfaatnya tersendiri. Dengan mengikuti citarasa individu itu sendiri, dia dapat memilih aktiviti yang paling sesuai untuk dirinya kekal sihat.

11 best video games for beginners

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Berdiet Dengan Selamat