Bicara Budaya

Di Sebalik Nama Jalan Eunos

olehMuhd Azhar Haris
October 2024

Jika anda biasa atau pernah membeli-belah di sekitar Geylang Serai, berdekatan dengannya di bahagian timur terdapat suatu tempat yang agak istimewa kerana mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Tempat tersebut terdiri daripada beberapa batang jalan dan sebahagian besarnya merupakan kawasan perindustrian. Itulah Jalan Eunos. Di sebalik kesibukan pembangunan di sekitar Jalan Eunos seperti yang kita lihat pada hari ini, terdapat sejarah yang tidak ramai ketahui tentang kawasan tersebut. Pernahkah anda terfikir mengapa kawasan tersebut diberi nama Jalan Eunos?   Siapakah Eunos?

LATAR BELAKANG EUNOSEunos Abdullah – An Early Malay Nationalist – Museum Volunteers, JMM

Nama Jalan Eunos diambil sempena memperingati nama seorang tokoh yang bernama Mohamed Eunos bin Abdullah yang hidup pada tahun 1876 hingga 1933. Mohamed Eunos merupakan seorang intelektual Melayu yang lahir dan membesar di Singapura. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kampung Glam dan Institusi Raffles. Walaupun lahir dalam keluarga yang kaya, beliau tidak hidup bersenang-lenang. Beliau memanfaatkan hayatnya untuk kepentingan masyarakat Melayu. Beliau digelar Bapa Kewartawanan Melayu Moden kerana aktif dalam bidang kewartawanan. Beliau pernah menjadi editor pertama akhbar Utusan Melayu, iaitu surat khabar bahasa Melayu pada zamannya. Dua tahun kemudian, beliau menubuhkan Lembaga Melayu, iaitu akhbar berbahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi. Sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan, Mohamed Eunos banyak menyuarakan soal pendidikan dan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu. Di bawah kepimpinannya, akhbar berbahasa Melayu ini menjadi akhbar yang berpengaruh. Bukan sahaja aktif dalam bidang kewartawanan, beliau juga terlibat dalam pelbagai organisasi penting, antaranya menjadi ahli Lembaga Penasihat Muslim, menjadi Pesuruhjaya Perbandaran untuk orang Melayu dan dilantik sebagai ahli Majlis Perundangan Singapura berbangsa Melayu yang pertama. Mohamed Eunos telah dianggap sebagai wakil masyarakat Melayu, sekali gus terlibat dalam politik untuk menyuarakan hak dan kepentingan masyarakat Melayu kepada pihak pemerintah British.

Pandangan beliau lantang dilontarkan dalam kancah politik. Beliau bersama beberapa tokoh yang lain telah menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) pada tahun 1926 iaitu parti politik Melayu pertama pada zaman penjajahan British. Beliau dipilih sebagai presiden yang pertama. Di bawah KMS, Mohamed Eunos memperjuangkan peranan orang Melayu dalam bidang pekerjaan awam, meningkatkan taraf hidup serta meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Melayu.

Eunos Abdullah – An Early Malay Nationalist – Museum Volunteers, JMMPEMBUKAAN KAMPUNG EUNOS

Mohamed Eunos berpandangan bahawa cara kehidupan asli masyarakat Melayu dan nilai-nilai kemelayuan harus dikekalkan. Cara kehidupan ini termasuklah semangat muafakat, amalan gotong-royong, pemeliharaan budaya dan adat masyarakat Melayu dan sebagainya. Untuk tujuan itu, suatu kawasan yang khusus perlu diwujudkan untuk masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, di bawah KMS dan sebagai ahli Majlis Perundangan, Mohamed Eunos menuntut pihak British yang merupakan pihak pemerintah pada ketika itu untuk menyediakan satu kawasan khas untuk orang-orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa semangat nasionalisme bangsa Melayu pada ketika itu bukanlah berbaur perkauman kerana tujuannya hanyalah memelihara keaslian jiwa masyarakat Melayu dan meningkatkan taraf kehidupan mereka sahaja. 

Hasrat ini tercapai ketika pihak pemerintah ingin menjalankan projek Lapangan Terbang Kallang, iaitu lapangan terbang pertama di Singapura. Projek ini melibatkan kawasan seluas 300 ekar, dan ini memberikan kesan kepada masyarakat Melayu yang tinggal di sekitar Kallang kerana melibatkan pengambilalihan kawasan tempat tinggal masyarakat Melayu di situ. Oleh itu, Mohamed Eunos bertindak memperjuangkan nasib orang-orang Melayu yang terkesan dalam Majlis Perundangan dengan melobi untuk mendapatkan petempatan baru untuk masyarakat Melayu. Setelah beberapa kali mencuba, Mohamed Eunos akhirnya berjaya melobi Majlis Perundangan Singapura untuk mendapatkan tanah bagi menempatkan semula orang-orang Melayu yang terpaksa berpindah akibat projek tersebut. Pemerintah pada ketika itu telah memberikan geran sebanyak $700 000. Dengan geran tersebut, Mohamed Eunos membeli tanah seluas kira-kira 600 ekar untuk membina petempatan orang Melayu.

KEMUDAHAN DI KAMPUNG MELAYUEunos Abdullah – An Early Malay Nationalist – Museum Volunteers, JMM

Pembinaan petempatan Melayu tersebut merupakan suatu kejayaan yang besar bagi Mohamed Eunos. Petempatan tersebut akhirnya dibina dan dinamakan sebagai Kampung Melayu. Kampung Melayu sangat luas- lebih luas daripada sekitar Jalan Eunos pada hari ini. Kampung ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Masjid Alkaff, surau di Kaki Bukit dan sekolah Melayu yang terdiri daripada sekolah lelaki dan sekolah perempuan, sekolah menengah serta sekolah agama. Disebabkan orang Melayu aktif dalam sukan pada ketika itu, terdapat persatuan sukan yang ditubuhkan, salah satunya ialah Persatuan Sepak Takraw Amatur Singapura. Selain persatuan sukan, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu atau dikenali sebagai 4PM juga ditubuhkan di Kampung Melayu. Beberapa tahun kemudian, nama Kampung Melayu ditukar menjadi Kampung Eunos.

JALAN EUNOS YANG MODEN

Selepas zaman penjajahan British berakhir, pembangunan rancak dijalankan di seluruh negara, termasuklah di Kampung Eunos. Pada tahun 1960, keluasan Kampong Eunos ditambah hingga ke Kaki Bukit. Terdapat kira-kira 300 buah rumah masyarakat Melayu pada ketika itu. Dalam catatan, berlaku satu peristiwa hitam di kampung ini iaitu kebakaran yang memusnahkan banyak rumah dan menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal. Menjelang tahun 1980-an, arus pemodenan telah mengubah wajah Kampung Eunos. Akhirnya petempatan Melayu yang berkonsepkan kampung ini terpaksa digantikan dengan pelbagai projek pembangunan dan perumahan yang moden. Pada tahun 1981, sebahagian kawasan Jalan Eunos telah diwartakan bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Pulau (PIE). Stesen MRT Eunos pula telah dibina dan mula beroperasi sejak 4 November 1988. Jalan Eunos kini, selain menjadi lokasi kawasan perindustrian, terdapat juga pusat makanan dan kawasan perumahan HDB yang lebih moden. Disebabkan tiada lagi petempatan berkonsepkan kampung di situ, nama Kampong Eunos ditukar menjadi Jalan Eunos. Walaupun petempatan masyarakat Melayu itu tidak berkekalan, nama Jalan Eunos masih dikekalkan sehingga kini bagi mengenang jasa beliau semasa hayatnya yang memperjuangkan untung nasib masyarakat Melayu pada ketika itu.

Eunos Road 5 HDB Details Location Map - Nearby MRT's, Schools, Malls | SRXMohamed Eunos meletak jawatan sebagai ahli Majlis Perundangan Singapura pada tahun 1933 atas faktor kesihatan dan beliau akhirnya meninggal dunia pada akhir tahun tersebut. Sumbangan jasa dan pengorbanan beliau harus diingati dan dihargai, seiring dengan kata-kata Setiausaha Kerajaan British pada ketika itu, Sir John Scott;

“Beliau merupakan seorang lelaki berbangsa Melayu yang mementingkan ahli-ahli masyarakatnya dan sentiasa ikhlas dalam semua yang beliau katakan dan semua yang beliau lakukan. Saya yakin bahawa penduduk Melayu, akan berterima kasih dengan tulus kepada Tuan Mohamed Eunos atas sokongan dan kejayaan bagi pihaknya.”

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Permainan Tradisional