Cerpen

Di Sebalik Cermin Segi Empat

olehNaqibah Binte Zulkifli
September 2016

Tubuhku bergegar. Alunan muzik bergema sekaligus menghapuskan keheningan suasana. “6:00am” jelas tertera. Dalam kegelapan, diriku diangkat lalu dipicit. Serentak, gegaran dan alunan muzik terhenti. Kegelapan dimamah cahaya.

“Hadi! Hadi! Bangun!” Terdengar suara seorang wanita.

“Ya ibu. Hadi nak pergi mandi,” suara yang tidak asing menjawab.

Aku pasti akan suara itu. Suara itu milik seseorang yang sangat teruja dengan kehadiranku. Sehari yang lalu, diriku dilimpahi pujian. Aku mempunyai bentuk yang menarik, langsing dan hangat di pasaran. Aku adalah bahan kebanggaan. Diriku lengkap dengan pelbagai fungsi, hasil teknologi terkini.

Tiba-tiba, aku terasa sesuatu memasuki diriku. Tanpa diarah, sebuah pesanan ringkas jelas terpapar. Tidak sampai seminit, pintu bilik air terbuka luas lalu Hadi bergegas ke arahku. Kelihatan sebaris gigi tersebar luas apabila pemilikku pantas memicit sebahagian tubuhku. Beberapa titik air dari rambutnya memercik di atasku. Cerminku digosok dengan sehelai kain. Aku diletakkan di atas meja.

Dari rumah hingga ke sekolah, mata pemilikku terpaku kepada apa yang terpancar di cerminku. Aku berasa teramat penting. Aku tidak dikecualikan semasa Hadi berada di dalam kelas. Tangannya tetap menggenggam aku erat. Sekali sekala, matanya melirik kepada cerminku.

“Wah! Pasti mahal harganya. Hadi, kau sangat beruntung!” Diriku diamati oleh berlainan wajah. Semuanya terlopong apabila Hadi menunjukkan keistimewaan yang aku miliki. Bermacam-macam warna dan susunan huruf memenuhi cermin segi empat ini.

Hari demi hari, diriku semakin kerap digunakan. Tiada waktu rehat buat diriku. Malah, tenaga dibekalkan tanpa putus di rumah pemilikku. Walau bagaimanapun, tenaga itu membawa padah. Bukan sahaja kepada diriku, tetapi juga kepada pemilikku. Di sebalik cermin segi empat ini, aku menyaksikan suatu transformasi yang menakutkan.

Aku melihat cahaya seorang pemuda pudar, memadamkan identiti yang sangat digemari. Kulitnya yang bersih tercemar dengan secalit warna kehitaman di bawah kedua-dua matanya. Matanya kuyu. Namun, dia masih terjaga supaya dapat melihat maklumat terkini. Kecewa. Aku sangat menyesali akan penciptaanku. Namun apakan daya. Aku hanya sebiji telefon bimbit.

Sinaran mentari terpantul di cermin empat segi ini serta tembok kamar pemilikku. Tubuhku terasa panas. Bekalan tenaga masih tidak putus. Ada cecair yang sedang mengalir di dalam tubuhku. Bateri! Jika tidak dikeluarkan dalam masa yang singkat, aku mungkin tidak dapat bertahan. Nyawaku tergugat. Di mana perginya pemilikku?

“Ibu memang tidak akan memahami! Ini zaman moden, bukan zaman atuk dan nenek! Hadi lebih sanggup berkahwin dengan telefon bimbit itu daripada mendengar leteran ibu!” Suara yang tidak asing itu semakin dekat.

Dalam samar-samar cahaya, aku dapat melihat pintu kamar itu dihempas kuat. Tubuhku semakin lesu. Tenaga yang dibekalkan membanjiri diriku. Dengan kasar, aku diangkat lalu bekalan tenaga terputus. Sebuah lelaman sosial tersiar. Pemilikku pantas memicit sebahagian tubuhku. Setelah itu, lelaman sosial yang lain tersiar. Kata-kata yang sama tertulis di lelaman itu. Hadi semakin giat melungsuri lelaman-lelaman yang berbeza tema. Tubuhku dipicit kuat setiap kali raut wajah pemilikku seperi harimau beranak muda. Dia mendengus dengan kuat. Tidak sewenang-wenangnya, beraneka warna terpatul di cerminku tanpa kawalan.

“Ah! Apa yang telah jadi? Nama sahaja canggih, tetapi tidak dapat bertahan lama! Memang tidak guna!” Setelah kata-kata kesat itu pantas dikeluarkan, tubuhku dicampak ke lantai.

Cermin segi empat ini retak. Pada masa yang sama, cecair panas mengalir keluar dari tubuhku. Aku sudah tidak berdaya. Di dalam diriku, hancur berderai. Duniaku menjadi gelap.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Kakak