Cerpen Pelajar

Belayar Tanpa Peta

olehNoor Ewanny Alwi
October 2024

Kata orang bermimpilah selagi langit masih sanggup menampung mimpimu. Kata ini kerap diucapkan di pelbagai kesempatan. Sejak di bangku sekolah lagi, kita diajak untuk bermimpi hebat dan diajak untuk bercita-cita sehebatnya. Aku yakin jika ditujukan soalan sedemikian, ramai yang bakal menjawab pertanyaan tersebut dengan harapan yang cukup besar dan tinggi. 

Aku juga pernah suatu ketika begitu. 

“Ma, Nuha rasa Nuha hendak jadi cikgu Melayu bila besar nanti. Nuha suka sangat cara Cikgu Linda mengajar dalam kelas. Nuha mahu jadi macam dia. Dia best Maaa… Semua orang suka dia. Nuha selalu fokus dalam kelas. Nanti Nuha belajar rajin-rajin ya Ma. Jadi pengetua pun bagus juga Ma! Mama rasa Nuha mampu?” terkebil-kebil mataku merenung wajah Mama. 

“Mestilah boleh, nak jadi Presiden pun boleh! Anak Mama ini bukankah petah bercakap, rajin dan bijak? Mama tak belajar tinggi pun, tapi Mama hendak sangat tengok satu-satunya anak Mama ini berjaya. Nanti bila besar, Nuha pula ajar Mama ya?” Mama mengusap kepalaku, suaranya kedengaran selembut bayu berpuput.

Perjalananku sebagai seorang pelajar begitu kompleks. Jauh sekali daripada gambaran yang telah kulakarkan di benakku. Berkali-kali aku gagal disebabkan harapan-harapan yang tinggi menggunung. Sepuluh tahun bukan satu waktu yang singkat. Menyerah kalah juga bukanlah jalan penyelesaiannya. Aku tidak akan sesekali mensia-siakan setitik pun kudrat Mama dan Papa.

Pada saat setiap permohonanku ditolak, Mama dan Papa sentiasa ada- memimpin tanganku hangat dan terus memberi suntikan semangat. Mama merenung mataku yang redup. Suatu perasaan hiba berombak di dadaku. Seolah tidak berbaki lagi tenaga, semangat dan harapan. Harus kukutip di mana? Di sorot mata Mama tersimpan sejuta satu macam rahsia yang gagal aku tafsirkan dengan firasatku. Sesekali aku seakan rasa terkalah ketika berhadapan dengan saat seperti ini.

Malam itu, aku membiarkan diriku untuk bermimpi sehinggakan sang mentari menjemput dengan pancaran sinarnya yang hangat di pagi hari.

“Mama! Papa! Baju esok sudah siap pilih? Ishhh, Nuha pula rasa gementar!

“Ma.. Mama rasa Nuha patut pakai dress atau baju kurung? Tudung pula, yang bercorak atau yang biasa sahaja?” tanyaku lagi sambil membelek-belek helaian baju yang tergantung di dalam gerobok putih. “Mama dan Papa sudah siap pilih baju, cuma belum gosok sahaja. Nuha pakailah dress hijau zamrud itu. Tudung biar bercorak atau berbunga sedikit. Bawa ke sini. Mama tengokkan; boleh gosok sekali dengan baju Papa ini,” Mama mencadang.

Di dewan yang cukup megah itu, mereka duduk bersama orang tua penerima-penerima anugerah yang lain. Papa mengenakan kemeja linen putihnya manakala Mama mengenakan jubah hitam bersulam. Pakaian mereka cukup rapi pada pagi yang indah itu. Ternyata hari itu begitu istimewa buat mereka. Kejayaan aku pada peringkat ini merupakan kebanggaan terbesar Mama dan Papa.

Hatiku ibarat dipukul ombak kencang menunggu giliran untuk naik pentas.

“Penerima Anugerah Cemerlang Mendaki 2018 yang seterusnya ialah Nuha Elyani Adli. Beliau meraih Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dengan Kepujian dalam jurusan Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya,” ucap juruacara sambil melontarkan senyuman.

Mataku yang bulat mula berkaca. Perlahan-lahan, aku melangkahkan kaki menaiki anak tangga untuk menuju ke tengah pentas. Aku bersalaman dengan tetamu kehormat sebelum mengambil sijil yang disusuli dengan ucapan terima kasih. Aku sempat menjeling ke arah Mama dan Papa. Aku tidak dapat melupakan senyuman mereka yang tersirat dari kejauhan di bangku belakang sana. Ikutkan hati, mahu sahaja aku melambai-lambaikan tanganku di udara dek girang yang tidak terperi.

Ya, aku telah mengambil keputusan untuk sambung belajar di luar negara setelah permohonanku untuk memasuki Universiti tempatan ditolak. Jauh itu tidak, hanya di seberang tambak sahaja. Mujur ada sistem sokongan yang cukup kuat meskipun hari-hari sulit kulewati berjauhan daripada keluarga. Pelbagai rintangan yang datang menyinggah namun tidak satu pun yang menghambatku untuk terus melangkah. Berbekalkan azam dan kecekalan diri yang sedia ada, aku berjaya menamatkan pengajian di Universiti dengan cemerlang hingga melayakkan aku mendapat Anugerah tersebut. 

Dengan ijazah yang aku miliki selepas empat tahun pengajian di Universiti, aku jangkakan peluang pekerjaan yang cerah. Aku ingin sekali menempatkan diriku dalam program Diploma Pasca Siswazah bidang pendidikan, sesuai dengan kelulusanku. Guru bahasa Melayu, itulah impianku sejak azali.

Malangnya, pisang berbuah dua kali. Tiga kali permohonanku gagal.

Aku sedar jika impian dan cita-citaku bermakna, aku harus mengorbankan sebahagian diriku untuk mencapainya. Maka aku akhirnya akan kecewa. Barangkali, terlalu kecewa. Mungkin rezeki aku bukan di situ dan aku percaya ada rezeki lain yang sudah ditetapkan untuk aku. Aku terima segala takdir yang tertulis buat diriku. Tiada sebab untuk aku tidak terus tegar memburu impianku. Aku cuba mengubati luka itu dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang lain- seorang pendidik prasekolah. Jauh di relung hati, aku sangat berharap bidang yang aku ceburi kali ini boleh menemukan jalan keluar daripada kenangan lalu.

Oleh sebab aku sudah merasakan pahit manisnya hidup di rantauan, aku meyakinkan Mama dan Papa supaya mengizinkan aku untuk mengembangkan sayapku di luar negara. Kali ini jaraknya lebih jauh. Aku tahu, pilihanku amat berat untuk dihadam Mama dan Papa kerana akulah satu-satunya permata hati mereka. Ingin sekali aku membawa mereka bersama untuk menjelajahi dunia di sebelah sana. Tapi itu bermaksud aku mementingkan diri sendiri. Mama dan Papa masih diperlukan di tanah air. 

Semua persiapan sudah lengkap. Visa juga telah diluluskan. Aku hanya berbaki tiga hari lagi sebelum terbang ke Australia. Tiba-tiba aku dikejutkan pula dengan khabar pandemik yang melanda seluruh dunia. Semua penerbangan harus ditangguhkan atau dihentikan sama sekali. Sungguh, tidak diduga.

Sejujurnya, langkahku hampir terhenti. Aku sudah tidak tahu ke mana lagi harusku arahkan langkah kakiku ini. Hatiku remuk redam, tapi aku pakukan dengan wajah Mama dan Papa. Hanya dengan cara itu dapatku rawat luka yang membelenggu.

Malam itu, aku duduk di sofa merangkap tempat tidurku yang terletak di sudut kamar sambil menonton televisyen. Sudah lama rasanya sejak aku menghidupkan alat itu. Bukan apa, kerap kali aku lebih memilih untuk merehatkan mata dan minda. Mataku menatap ke arah kaca televisyen dengan fikiranku yang jauh menerawang.

Bebola mataku tertarik pada sekeping kertas nota yang tertampal di papan gabusku.

Permataku Nuha Elyani,

Jika takutkan ombak, jangan berumah di tepi pantai. Jika sering memberi alasan untuk mengejar kejayaan, jangan pernah bermimpi untuk berjaya. Seringkali, orang yang memiliki cita-cita tinggi yang memiliki matlamat kehidupan. Maka dia akan berusaha yang terbaik, gigih dan tidak mengenal penat lelah berusaha mengejar kejayaan.

Sayang Mama

A cartoon of a graduate with a stack of books and a diploma | Premium  AI-generated vector

Dengan pantas aku bangkit turun dari sofa untuk mencapai kertas nota berwarna merah jambu itu. Aku mendekatkannya ke wajah lalu memberikan satu kucupan. Langkahku kemudian diayun semula ke sofa. Baris-baris ayat yang tercatat di atas nota itu begitu tepat, seolah-olah mengetuk-ngetuk pintu hatiku supaya berlapang dada dan menerima segalanya yang telah ditetapkan.

Aku yakin aturan Allah itu yang terbaik. Seperti Papa, aku juga tidak kurang tempiasnya. Papa pernah bercerita tentang impiannya untuk menjadi seorang ahli politik. Impian itu masih tidak tercapai sehingga umur senjanya. Adakah Papa seorang yang gagal? Tidak sama sekali. Bahkan, Papa seorang yang amat dihormati di syarikatnya. Hakikatnya, hidup ini merupakan suatu perjuangan tanpa henti.

Aku sedia berlari lebih kencang. Tidak sekali aku membiarkan diri beralasan dan pasrah pada keadaan. Aku cuba dan terus mencuba berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan menyesuaikan kemahiran diri agar tetap mencapai impianku meskipun dalam bidang yang berbeza. Sungguh, berkeras aku berusaha. Akhirnya, segala usahaku membuahkan hasil. 

Kini, aku menabur bakti mengajar anak-anak istimewa. Adakah ini pilihanku? Tidak sepenuhnya tetapi ini adalah jalan yang dipilih untukku. Jalan yang teristimewa untuk aku menjadi lebih istimewa daripada sebelumnya. Ada kalanya peluang itu ada, namun kesempatan itu belum ada. Ada kala pula kesempatan itu ada, cuma keterbukaan itu belum memberi rasa. 

Cita-citaku tetap tergantung pada bintang walau kakiku berpijak di atas tanah. Aku amat percaya tidak ada cita-cita yang terlalu besar untuk diraih atau terlalu kecil untuk diperjuangkan. Teruslah belayar meskipun terkadang pelayaran itu tanpa peta.

 

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Misi Tahan