Panduan Pelajar

Bebaskan Diri daripada Telefon Bijak

olehNur Sakinah
October 2024

Impact Of Digital Media On Our Society, Future & Lifestyle

 

Ledakan teknologi yang kita nikmati kini telah sedikit sebanyak menggugat kesihatan mental dan fizikal seseorang pelajar. Hal ini berikutan dengan ketagihan serta kecanduan remaja masa kini terhadap penggunaan gajet atau alat elektronik secara berleluasa. Masa yang diluangkan secara berlebihan sewaktu menggunakan gajet, akan memberikan implikasi yang kurang baik terhadap diri seseorang pelajar, sekali gus memudaratkan perkembangan minda mereka.

Kekerapan penggunaan alat teknologi seperti telefon bimbit, komputer riba, iPad, tablet mahupun komputer secara amnya mampu membahayakan kesihatan manusia. Corak kehidupan manusia kini dipengaruhi oleh penggunaan aplikasi-aplikasi yang terkandung dalam telefon pintar. 

Persoalannya, pernahkah terlintas di fikiran kita akan bahaya yang bakal timbul sekiranya seseorang pelajar terlalu leka dengan penggunaan gajet sepanjang hari? Antara kesan negatif yang timbul akibat ketagihan gajet dalam diri seorang pelajar adalah seperti waktu tidur yang terganggu dan tidak menentu, kesihatan mata yang terjejas, kecelaruan minda hingga menghambat fikiran untuk berfungsi dengan baik, masa terbuang dengan aktiviti yang tidak mendatangkan faedah, dan akhirnya menyebabkan kesihatan diri dan mental mula terabai. Bukan itu sahaja, ketagihan penggunaan gajet turut mengancam kemahiran berinteraksi dan perkembangan sosial seseorang.

Kehadiran media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram, TikTok dan SnapChat adalah antara aplikasi-aplikasi yang sering digunakan dalam kalangan pelajar. Aplikasi-aplikasi sebegini adalah antara wadah yang baik untuk berkomunikasi dan berkongsi pendapat serta mendapatkan berita terkini. Namun, keasyikan terhadap penggunaan media sosial mungkin akan mengurangkan interaksi sesama manusia dan mengaburkan garis pemisah antara kehidupan realiti dan dunia maya. Natijahnya, pelbagai masalah akan timbul termasuklah masalah dalam perhubungan sosial serta gejala kemurungan.

Justeru itu, dalam mengurangkan risiko kesihatan terjejas terhadap mental dan fizikal dalam diri seseorang pelajar, ibu bapa harus memerhatikan dan menyelia penggunaan gajet anak-anak mereka. Dalam usaha mengurangkan kesan ketagihan para pelajar terhadap penggunaan gajet, berikut merupakan beberapa panduan yang boleh dipraktikkan oleh para pelajar.

 

1) Hadkan masa penggunaan gajet serta alat elektronik milik sendiri. Rangka jadual masa seharian dan bahagikan masa dengan sebaik-baiknya antara pelajaran, masa bersama keluarga, masa sendiri dan waktu beriadah.

2) Jangan gunakan telefon bijak di atas katil sebelum masuk tidur. Mungkin anda akan terlajak dan terus menggunakannya hingga mengorbankan waktu tidur.

3) Lakukan aktiviti beriadah seperti bersenam, berbasikal, bersukan dan aktiviti luar rumah pada masa lapang.

4) Luangkan masa bersama ahli keluarga dengan melakukan kegiatan-kegiatan sihat dan menyeronokkan seperti berkelah di tepi pantai, melawat taman-taman serta muzium-muzium Singapura dan menjelajah tempat-tempat bersejarah di Singapura. Aktiviti-aktiviti sebegini bukan sahaja menyeronokkan, malahan turut mampu mengukuhkan hubungan kekeluargaan antara ahli keluarga.

5) Amalkan sikap bertanggungjawab sebagai pengguna gajet yang berhemah dengan merancang terlebih dahulu perkara yang mahu dicari sebelum melayari Internet bagi mendapatkan maklumat-maklumat baharu. Antara lain, pastikan bahawa pencarian maklumat dihadkan kepada persoalan- persoalan berkaitan pelajaran ataupun atas dasar keperluan lain sahaja.

6) Elakkan diri daripada terlalu bergantung dengan penggunaan telefon pintar mahupun komputer dalam mengakses maklumat. Gunakan khidmat perpustakaan yang sedia ada dan terletak di kawasan-kawasan kejiranan serata Singapura. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengembalikan serta memupuk sikap suka membaca dalam kalangan pelajar.

7) Minta bantuan ibu bapa untuk menyimpan telefon bijak anda ketika anda perlu mengulang kaji pelajaran.

8) Gunakan fungsi pengesetan (settings) yang membolehkan kita mengehadkan sendiri masa penggunaan aplikasi-aplikasi tertentu dalam telefon bijak kita.

 

Rumusannya, ibu bapa berperanan penting dalam memastikan setiap anak kekal aktif dalam kehidupan seharian dengan melakukan aktiviti-aktiviti sihat di samping menyelia penggunaan gajet mereka. Dengan bersikap lebih proaktif dan mengatur masa bersama seperti mengamalkan gaya hidup sihat, sedikit sebanyak dapat merapatkan hubungan bersama anak sekali gus mengurangkan masa mereka pada penggunaan gajet. Selain itu, pelajar sendiri harus bijak menyesuaikan diri dan membahagikan masa antara dunia maya dan dunia realiti agar kesihatan mental dan fizikal menjadi lebih seimbang.

Impact of Digital Media on Society

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

Mengimbangi Masa Antara Kerja Sekolah Dan Kegiatan Luar Darjah