Wawancara Khas

ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG 2020 Edufront Learning Centre dan Pusat Bahasa Nusa

olehCikgu Sulastri
October 2024

Sebagai pusat pembelajaran yang giat memberi bimbingan kepada para pelajar, Edufront Learning Centre dan Pusat Bahasa Nusa tidak ketinggalan berbesar hati atas semua kejayaan yang diraih oleh para pelajar mereka dalam peperiksaan peringkat nasional. Dalam wawancara ini, kita akan berkenalan dengan beberapa orang pelajar dan ibu bapa untuk mencungkil resipi kejayaan mereka.

  1. AYRA RANIA MENGIKUTI JEJAK LANGKAH DUA ORANG KAKAKNYA

Ayra Rania Binte Abdul Raziff merupakan salah seorang pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam PSLE. Beliau bersama dua orang lagi kakaknya yang juga merupakan pelajar cemerlang, iaitu Aida Nadirah yang kini belajar di Maktab Rendah Victoria dan Aida Nabilah yang kini belajar di Institusi Raffles telah mendapat bimbingan daripada Pusat Bahasa Nusa dan Edufront Learning Centre. Ayra mendapat A* untuk Bahasa Melayu manakala kedua-dua orang kakaknya pula mendapat gred kepujian untuk kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu Lanjutan Peringkat ‘O’.

Kembara Nusa: Apakah rahsia kejayaan kamu?

Ayra Rania: Saya hanya belajar bersungguh-sungguh. Kadang kala ada sesuatu topik yang amat sukar. Jadi saya cuba sedaya upaya untuk keluar daripada ketidakfahaman itu. Pusat Bahasa Nusa juga membantu kejayaan saya. Bahan seperti Majalah Kembara Nusa mengandungi banyak panduan bahasa yang berguna untuk membantu saya dalam penulisan karangan.

  1. TIDUR YANG PANJANG PENTING BUAT IMAN FITREY

Bagi Iman Fitrey bin Ismail yang mendapat agregat 275 (4A*) dalam peperiksaan PSLE, beliau dan keluarganya sangat mementingkan kesihatan dan waktu rehat. Keluarganya sering menasihati belia agar tidak terlalu tertekan dan mendapatkan waktu rehat yang mencukupi kerana bagi mereka kesihatan lebih penting berbanding prestasi dalam akademik. Beliau juga akan tidur selama sembilan jam untuk memastikan badannya mendapat rehat yang mencukupi. Apabila ditanya tentang rahsia lain kejayaan beliau, ini jawapannya; 

“Saya merancang jadual waktu yang seimbang serta mengulang kaji dan menghafal konsep-konsep dengan bersungguh-sungguh. Saya juga membaca dengan luas, termasuklah surat khabar dan mencatat nota semasa guru sedang mengajar. Saya akan bertanya guru saya jika saya tidak memahami sesuatu topik”.

  1. MASA YANG PADAT BUKAN ALASAN BUAT NOR ANIQA

Nor Aniqa Binte Norhazry berjaya mendapat agregat 280 (4A*) walaupun menghadapi cabaran dari aspek masa. Masanya yang padat tidak menghalang kejayaan beliau. Untuk mengatasi masalah itu, beliau membuat jadual aktiviti harian supaya ada masa untuk membuat ulang kaji dan berehat.

“Kerja keras, tidak putus asa dan jadual harian merupakan faktor utama kejayaan ini,” kata Nor Aniqa apabila ditanya tentang rahsia kejayaan beliau.

Bukan sahaja beliau, ibunya turut menghadapi cabaran masa yang padat untuk membantu Nor Aniqa dalam pelajaran. “Mencari masa bersama Aniqa ialah satu cabaran, memandangkan saya seorang ibu yang bekerja. Oleh sebab itu, saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada bekerja sebagai pengajar supaya saya boleh fokus kepada anak-anak saya,” kata ibu Nor Aniqa, Puan Norbaya Md Isa.

  1. NUR IMAN PERNAH BERPUTUS ASA DAN HILANG MOTIVASI

Nur Iman Bte Alias yang merupakan salah seorang penerima Anugerah Mendaki telah berjaya mendapat agregat 274 (4A*). Menceritakan semula cabaran dalam menampa kejayaan tersebut, Nur Iman berkata bahawa beliau merupakan pelajar yang kurang motivasi dan mudah berputus asa. Beliau juga seorang yang pemalu untuk bertanya kepada gurunya di sekolah apabila tidak memahami sesuatu topik. 

“Untuk mengatasi masalah itu, saya hanya kembali berfikir positif terhadap sesuatu yang berlaku. Jika terlalu berat, saya akan meminta nasihat guru-guru saya dan rakan-rakan di sekolah. Disebabkan saya malu bertanya dengan guru-guru di sekolah jika tidak memahami sesuatu, saya akan bertanya guru saya di Edufront Leaning Centre dan mereka banyak membantu saya untuk meningkatkan keyakinan diri dalam pelajaran,” kata Nur Iman.

  1. DORONGAN IBU BAPA SUMBER KEKUATAN SARA SYARIA

Sara Syaria Humaira Bte Syed Omar yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru pada suatu hari nanti telah berjaya memperoleh agregat 265 dalam peperiksaan PSLE. Beliau turut menghadapi liku sebelum berjaya dalam peperiksaannya.

Kembara Nusa: Apakah cabaran dalam kejayaan ini dan bagaimana kamu mengatasinya?

Sara Syaria: Saya sering membandingkan diri saya dengan kawan-kawan yang lain. Saya merasakan bahawa diri saya tidak cukup pandai berbanding kawan-kawan yang lain. Saya akan berasa kecil hati apabila saya tidak mendapat markah yang saya inginkan. Ibu bapa saya banyak memberikan semangat dan dorongan supaya saya juga boleh berjaya.

Menurut ibunya, Puan Rahsyidah Ibrahim, ibu bapa tidak boleh berputus asa dalam memberi dorongan kepada anak-anak tidak kira markah peperiksaan yang mereka peroleh. Beliau akan menasihati anaknya itu dengan membuat perancangan rutin harian dan membaca banyak buku, surat khabar dan menonton berita di televisyen.

  1. DOA KELUARGA SENJATA AMPUH SHARLEZ NADYA

Dengan agregat PSLE sebanyak 263, cukup buat Sharleez Nadya Binte Mohd Hidayat dan keluarga tersenyum berpuas hati. Mengulas tentang resipi kejayaannya, Sharleez Nadya mengatakan bahawa kejayaannya hasil daripada sikapnya yang berdikari, minat terhadap pelajaran serta berka doa daripada keluarganya. Ibunya, Puan Diah Mastura juga sempat mengongsikan tip didikan kepada anak-anak. 

“Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh secara mudah menyuruh anak-anak untuk belajar, lalu kita mengharapkan keputusan yang cemerlang. Berikan sokongan, motivasi dan galakan kepada mereka. Pastikan juga anak-anak mendapat makanan yang menyihatkan, rehat yang cukup dan tidak lupa solat (bagi orang Islam),” kata Puan Diah Mastura.

  1. PEMBELAJARAN YANG MENYERONOKKAN MEMBANTU ELYSHA NADIRA

Elysha Nadira Herman Litok pernah menghadapi masalah pelajaran. Prestasinya dalam beberapa subjek tidak begitu baik pada awalnya. Beliau mendapati bahawa sesetengah mata pelajaran amat sukar buat dirinya. Namun beliau tidak berputus asa dan terus berusaha dengan lebih keras dan kerap. Ibunya telah mendaftarkan beliau di Edufront Learning Centre dan Pusat Bahasa Nusa untuk mendapatkan bimbingan yang sewajarnya.

Kembara Nusa: Bagaimanakah Edufront/Pusat Bahasa Nusa telah membantu kamu?

Elysha Nadira: Pembelajaran di Edufront/Pusat Bahasa Nusa menarik dan menyeronokkan. Hal ini membantu saya untuk kekal fokus ketika di dalam kelas. Banyak aktiviti yang dilakukan supaya saya mudah faham. Persekitaran juga sangat selesa. Bagi Puan Farazeela Binte Ibrahim, ibu Elysha Nadira, khidmat sokongan dalam talian oleh Edufront sangat membantu kejayaan anaknya itu.

  1. ‘PENJARAKAN SOSIAL’ DARIPADA TELEFON BIJAK MENGELAKKAN GANGGUAN BUAT MARIAM

 Seperti pelajar cemerlang lain, Mariam Bilal Elhassan juga seorang pelajar yang rajin berusaha dengan membuat latihan di rumah dan bertanya kepada guru-guru tentang sesuatu topik yang tidak difahami. Beliau amat gembira belajar di Edufront Learning Centre disebabkan pembelajaran yang menyeronokkan dan tidak membosankan. Faktor lain kejayaan beliau adalah daripada sokongan dan bantuan ibunya. Ibunya, Puan Shekah Harharah lebih tegas untuk memastikan kejayaan anaknya itu.

“Dalam era digital, alatan elektronik merupakan gangguan buat pelajar-pelajar. Ketika memasuki darjah 6, saya tidak membenarkan Mariam bermain dengan telefon bijak sepanjang tahun,” kata Puan Shekah Harharah.

  1. BERDIKARI MEMATANGKAN SRI QASEH

Nama sebenar beliau ialah Sri Qaseh Nuraisyah Binte Abdullah. Walaupun menyedari cabaran yang berliku dihadapi oleh Sri Qaseh, ibunya, Puan Sri Noordin Asmar mengambil pendekatan berbeza dengan membiarkan Sri Qaseh lebih berdikari.

“Sebagai ibu, saya tidak akan memberikan tekanan kepada Sri Qaseh, sebaliknya saya memberikan motivasi. Saya biarkan dia lebih berdikari dan hanya menjaga keperluan utama seperti makanan dan sebagainya,” kata Puan Sri Noordin Asmar. Menurut Sri Qaseh, ibunya akan menyediakan makanan ketika beliau sedang belajar sebagai satu bentuk sokongan seperti bijirin, sandwic, gula-gula dan sebagainya.

Share icon-linkedin icon-facebook icon-twitter icon-wa

NUR HANIS MARISSA – Bintang Bola Jaring Sekolah Sukan Singapura